Ketuk Pintu Misteri Kembali Lagi. Wanita Ini Ceritakan Apa Yang Terjadi Pada 3 Malam Kejadian

TAMPIN – Selepas empat negeri dilanda misteri gangguan ketukan pintu, kini penduduk di Felda Bukit Jalor, Gemencheh di sini turut mengalami pengalaman menakutkan serupa.

Seorang penduduk, Kamisah Pun, 48, mendakwa, kejadian gangguan ketukan itu berlaku selama tiga malam berturut-turut sejak Ahad lalu.

“Saya bernasib baik kerana pada kejadian hari pertama, adik saya tidur di rumah. Dia menghantar pesanan mesej di Whats­App bertanyakan mengenai siapa yang mengetuk pintu di ruang tengah pada pukul 1.45 pagi.

“Memang cemas, bayangkan ada yang ketuk pintu rumah berulang kali secara kuat dan bunyi itu tiba-tiba lenyap,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Jalor semalam.

Menurut Kamisah, sebelum ini, dia pernah membaca mengenai kejadian gangguan ketukan yang berlaku di Selangor, Johor, Melaka dan Pahang, namun tidak mengambil serius mengenainya, malah tidak mempercayainya.

“Apabila baca berita mengenai kejadian ini (gangguan ketukan) rasa macam cerita dongeng. Apabila berlaku pada diri sendiri (diganggu), baru saya faham pe­rasaan takut itu,” katanya.

Kamisah memberitahu, pada malam kedua, anak sulungnya, Nurish Haziqah Ramlan, 12, ­terdengar bunyi ketukan pintu pada pukul 12 tengah malam dan gangguan itu berulang pada pukul 2.15 pagi dan terakhir pada pukul 4.20 pagi.

Pada malam kedua itu, Kamisah sekeluarga mengambil inisia­tif membaca surah Yasin dan berdoa agar gangguan menakutkan tersebut tidak berlaku lagi di rumah mereka.

“Malam ketiga, saya minta tiga anak jiran untuk menemani saya bersama tiga anak perempuan tidur di rumah kerana saya takut diganggu lagi,” katanya.

Wanita itu mendakwa, gangguan pada malam ketiga berlaku lebih awal iaitu pada pukul 9.45 malam dan anak jirannya meng­hubungi bapa mereka untuk meninjau sekiranya terdapat individu di luar rumah.

“Memang tiada sesiapa di luar rumah. Sebelum ini jiran tak dengar bunyi ketukan tetapi kali ini (malam ketiga) mereka terdengar bunyi dan ketakutan,” katanya.

Pada malam kelmarin, tiada gangguan ketukan dilaporkan berlaku berikutan pihak masjid menganjurkan bacaan Yasin.

Sementara itu, Pengerusi Maj­lis Pengurusan Komuniti Kampung Felda Bukit Jalor, Daud Md. Nor, 63, berkata, setakat ini sebanyak dua rumah diganggu ­sejak Ahad lalu.

“Kami sepakat melakukan bacaan Yasin dan berdoa semoga dijauhkan daripada musibah serta gangguan,” katanya

SUmber : Kosmo Online

Be the first to comment on "Ketuk Pintu Misteri Kembali Lagi. Wanita Ini Ceritakan Apa Yang Terjadi Pada 3 Malam Kejadian"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*