Gadis Ini Bawak Mak Sedara Jalan Naik Basikal, Tiba-tiba Terhumban Dalam Longkang Kena Gelak Ramai-ramai

Pengalaman lucu yang tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.Mana tidaknya, keterujaan menaiki basikal ala beca bersama ibu saudara, berakhir dengan tragedi lucu apabila kedua-duanya terhumban ke dalam longkang.

“Mula-mua berlagak, last-last kecundang,” demikian ciapan yang ditulis oleh seorang gadis pada perkongsian di Twitter bersama dua keping gambar ‘sebelum dan selepas’ insiden lucu berkenaan.

Posting itu sehingga kini meraih 25,300 retweet selain ratusan komen netizen yang terhibur dengan perkongsian tersebut.Berkongsi cerita bersama mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Amira itu berkata, ‘tragedi’ itu berlaku beberapa hari lalu ketika dia berkunjung ke kampung ibu saudaranya yang terletak di Raub, Pahang.

“Masa sedang bersantai-santai di rumah ibu saudara yang saya panggil Mak Ngah, saya ternampak basikal roda tiga ala beca tu dekat rumah sepupu yang terletak berdekatan. Basikal tu sepupu yang ubah suai, kebetulan dia ada bengkel.Saya pun teruja nak naik… saya ajak ibu naik tapi dia menolak. Saya pun ajak pula Mak Ngah. Mak Ngah pun tak berlengah terus capai tudung dan naik dekat tempat penumpang.

“Ibu pula duduk di tepi jalan sambil ambil gambar kami yang sememangnya teruja. Masa awal-awal kayuh okay saja… tapi beberapa puluh meter mengayuh, entah macam mana basikal tu hilang kawalan lalu ‘mereng’ ke tepi dan terus masuk longkang,” cerita Amira.

Menurut gadis berusia 20 tahun ini, mujurlah longkang tersebut tidak terlalu dalam dan apa yang paling penting, dia dan ibu saudaranya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mujur Mak Ngah tahan guna taKngan dia… saya seorang saja yang termasuk dalam longkang, Mak Ngah steady dalam tempat penumpang.Masa mula-mula jatuh, saya terus tanya keadaan Mak Ngah untuk pastikan dia okay ke tidak. Tapi Mak Ngah sporting je siap gelak-gelak. Saya terus minta maaf pada dia.

“Ketika itu tak sempat nak rasa malu pun… semuanya ketawa berdekah-dekah. Mujur tak ramai yang menyaksikan insiden memalukan itu,” cerita penuntut Ijazah Sains (Matematik) di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini.

Tambah Amira, dia sememangnya pandai mengayuh basikal namun disebabkan ia diubah suai seperti beca, sukar untuk dikawal kerana tidak seimbang.

“Tak sangka, niat saja-saja nak share perkara lucu dengan kawan-kawan tapi jadi viral pula. Saya gembira ramai yang terhibur… sedikit sebanyak boleh membuatkan orang tersenyum.

“Tapi ada juga satu dua komen negatif… ada yang kata ‘kalau perempuan bawak apa pun memang macam tu’. Tapi saya tak ambil hati pun. Benda tu saya share untuk hiburkan hati saja,” katanya yang berasal dari Kuala Lipis.

Bercerita serba sedikit mengenai Mak Ngah, Amira berkata dia sememangnya rapat dengan adik kepada ibunya itu.

“Rumah ibu dengan rumah Mak Ngah tak jauh pun… dalam 40 kilometer saja. Selalu kami bertandang rumah masing-masing dan saya memang anggap Mak Ngah seperti ibu sendiri.Selepas ini kalau datang lagi ke rumah Mak Ngah, mesti kalau dia tengok muka saya, automatik teringat semula tragedi lucu jatuh longkang. Nak kata serik bawa basikal tu tidak, tapi mungkin tak bawak orang naik beca dah,” katanya lagi.

KREDIT:MSTAR

Be the first to comment on "Gadis Ini Bawak Mak Sedara Jalan Naik Basikal, Tiba-tiba Terhumban Dalam Longkang Kena Gelak Ramai-ramai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*