Dobi Layan Diri Dibenarkan Buka Tetapi Dengan Syarat. Ini Keterangan Dari Menteri Ismail Sabri

Kerajaan hari ini membenarkan dobi layan diri beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun pemilik premis diarahkan menyediakan pekerja untuk mengawal dan memantau prosedur operasi standard (SOP) di kalangan pengguna.

Menurutnya, premis berkenaan dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam.

“Kita amat memahami keperluan ramai yang mengadu terutama golongan bujang yang memerlukan perkhidmatan dobi layan diri.

“Justeru, kita benarkan tapi pemilik premis mesti meletakkan pekerja untuk memantau penjarakan fizikal selain merekod butiran pelanggan, melakukan saringan suhu dan menyediakan pembasmi kuman tangan,” katanya pada sidang media PKP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau SOP di premis berkenaan bagi memastikan pematuhan orang ramai.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Ditanya mengenai cadangan pengusaha restoran di kawasan PKP yang meminta kerajaan supaya melanjutkan tempoh perniagaan sehingga 12 tengah malam, beliau berkata, kerajaan belum bersedia mempertimbangkan cadangan itu.

“PKP ini dua minggu berbanding sebelum ini sehingga tiga bulan, maka patuhlah dengan saranan kerajaan. Jika kes menurun kita tukar status PKP kepada PKPB, jadi ada kelonggaran yang akan diberi.

“Kalau nak kelonggaran, kitalah yang boleh menjadikan kawasan kita bertukar status dari PKP kepada PKPB,” katanya yang berharap orang ramai terus patuh kepada arahan dan SOP dikeluarkan kerajaan.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Dobi Layan Diri Dibenarkan Buka Tetapi Dengan Syarat. Ini Keterangan Dari Menteri Ismail Sabri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*