Bapa Kepada Bob Lokman Di Denda RM4Ribu, Ini Sebenarnya Yang Terjadi

Kota Bharu: Bapa kepada pelakon, Bob Lokman dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan merosakkan barangan masjid pada 21 November tahun lalu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh, Lokman Ahmad, 85, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dan memohon maaf.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu Mohd Hanis Sulaiman, 34, dia ingin menetak dan menembak mangsa, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39, sehingga mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali jam 11 pagi pada 21 November tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua di lokasi, tarikh dan masa yang sama, tertuduh melakukan khianat dengan merosakkan harta masjid iaitu memecahkan pasu bunga serta memotong pokok bunga di kawasan masjid yang menyebabkan kerugian RM150 kerana memarahi Muhammad Hafiz Hukmi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara kurang satu tahun dan sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan memandangkan tertuduh mengaku bersalah dan pada masa sama anak guamnya mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pendengaran.

Bagaimanapun, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk satu pertuduhan dan gagal bayar boleh dipenjara selama setahun.

SUMBER:HMetro

Be the first to comment on "Bapa Kepada Bob Lokman Di Denda RM4Ribu, Ini Sebenarnya Yang Terjadi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*