Hari Ini Buka, Esok Dah Kena Tutup Dengan Bandaraya. Wakil Bubblebee Jelaskan Sebab Sebenar Kenapa Cawangan Kuantan Itu Ditutup

Cawangan terbaharu kedai minuman BubbleBee di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang milik selebriti terkenal, Shuib terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa hari ini susulan tiada lesen perniagaan dan kad kesihatan.

Perkara tersebut tular selepas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memuat naik satu hantaran dalam Facebook yang memaklumkan kedai minuman BubbleBee ditutup kerana beroperasi tanpa lesen.

“Penutupan kedai minuman Bubblebee di Jalan Beserah kerana beroperasi tanpa lesen premis perniagaan.

“Selain dari tiada lesen perniagaan, pengendali makanan juga tidak mempunyai kad kesihatan,” tulis MPK dalam entri tersebut.

Kedai Bubblebee di Jalan Beserah, Kuantan yang baru dibuka semalam kena tutup sbb beroperasi tanpa lesen premis perniagaan dan juga tidak mempunyai kad kesihatan. Sumber : Majlis Perbandaran Kuantan

Meninjau ruangan komen, seorang individu bernama Kamarul Deqwa yang mendakwa dia merupakan salah seorang staf bahagian pengurusan jenama berkenaan turut mengesahkan perkara tersebut.

“Saya selaku bahagian Pengurusan BubbleBee memohon maaf diatas kesulitan yang berlaku.
“Masalah yang terjadi adalah kerana setiap dokumen yang diserah selesai kepada runner perlesenan tidak dihantar ke bahagian perlesenan MPK.

“Insya-Allah kami akan buka dalam masa terdekat selepas selesai urusan perlesenan. Harap maaf dengan segala kesulitan,” tulisnya dalam ruangan komen.

Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak Shuib berkaitan isu berkenaan.

Difahamkan, cawangan di Jalan Beserah itu baru sahaja dilancarkan semalam dengan sebuah lagi cawangan yang terletak di Terminal Sentral Kuantan.

Sehingga hari ini, kedai minuman berasaskan madu tersebut sudah mempunyai lebih 27 cawangan di seluruh Malaysia

Sumber : KOSMO ONLINE

Be the first to comment on "Hari Ini Buka, Esok Dah Kena Tutup Dengan Bandaraya. Wakil Bubblebee Jelaskan Sebab Sebenar Kenapa Cawangan Kuantan Itu Ditutup"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*