Rakyat Bising Susah Beli Makanan Sebab Restoren Tutup Pukul 8. Mereka Tanya Dan Ini Jawapan Menteri Ismail Sabri

Kerajaan akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai sama ada waktu operasi restoran atau kedai makan di negeri-negeri yang kini melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dilanjutkan atau sebaliknya.

Ini selepas kerajaan menerima rungutan orang ramai kerana had waktu sehingga jam 8 malam menyukarkan mereka mendapatkan makanan untuk makan malam, terutama bagi golongan pekerja.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob ketika dihubungi berkata pihaknya juga perlu mempertimbangkan kes positif harian Covid-19 yang masih tinggi ketika ini.

“Kami juga menerima pertanyaan dari beberapa orang, semua premis perniagaan ditutup pada pukul 8 malam. Kalau restoran tutup pukul 10 (malam), maka perlu ke buka kedai lain sampai pukul 10?

“Kes (sekarang) masih dalam sekitar 3,000 lebih. Susah juga tu, jadi biarlah KKM keluarkan pandangan mereka,” katanya kepada Malaysiakini menerusi pesanan teks.

Menerusi PKP yang kini dilaksanakan di tujuh negeri, kerajaan menetapkan had waktu untuk restoran dibuka hanya antara jam 6 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Makan dalam kedai makan atau restoran tidak dibenarkan, dan jualan makanan serta minuman hanya terhad untuk dibawa pulang, pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran makanan sahaja.

Namun sejak PKP dilaksanakan bermula 13 Jan lalu, ada di kalangan orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai kekangan masa untuk mendapatkan makan malam setelah pulang daripada bekerja.

Ini menyebabkan perbahasan di kalangan warga maya dan baru-baru ini mencetuskan perdebatan sengit antara dua individu di Twitter yang menyebabkan hashtag #SiBodohKauDengarSini menjadi sohor.

Sumber : Malaysia Kini

Be the first to comment on "Rakyat Bising Susah Beli Makanan Sebab Restoren Tutup Pukul 8. Mereka Tanya Dan Ini Jawapan Menteri Ismail Sabri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*