Lelaki Pangkat CEO Ini Beritahu Bagaimana Nak Selesaikan Masalah Ebit Lew Untuk Bantu 43 Ribu Pelajar Miliki Tablet Untuk Belajar

KUALA LUMPUR: Sekiranya rakyat Malaysia yang berkemampuan dapat menyumbang minimum RM2, jumlah sumbangan tersebut cukup membantu pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew, untuk membeli tablet buat pelajar-pelajar yang memerlukan.

Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Shekhinah PR Sdn Bhd, Christopher Raj, berkata beliau sedih membaca perkongsian Ebit Lew yang memaklumkan menerima mesej daripada 43,000 individu yang memerlukan kelengkapan gajet seperti tablet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

'Jika rakyat Malaysia derma RM2, sudah cukup bantu Ebit Lew beli tablet pelajar'

Christopher menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu berkata beliau sedar bahawa Ebit Lew tidak dapat melakukannya secara bersendirian kerana jumlah membeli keseluruhan tablet tersebut mungkin mencecah RM30 juta.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang prihatin kepada anak-anak yang memerlukan supaya memberi sumbangan seberapa yang mampu kepada Ustaz Ebit agar dapat menyampaikan bantuan tablet kepada 43,000 anak-anak yang memerlukan di luar sana untuk belajar di rumah.

“Pada saat yang sukar begini, hanya perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia dapat membantu kami mengukir senyuman kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi laman Twitter peribadinya pada Sabtu.

Tambahnya, beliau telah menyumbang sebanyak 30 buah tablet kepada mereka yang memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Pantai dan Sentul.

“Saya juga akan menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Ebit Lew bagi membantu beliau membeli tablet,” katanya.

Pada Jumaat, Ebit Lew menerusi satu muat naik di Facebook berkata menerima 43,000 mesej daripada pemohon yang kurang upaya (OKU), tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan keluarga kurang berkemampuan untuk memohon untuk kelengkapan gajet untuk pembelajaran di rumah.

Pada entri yang sama, beliau memohon maaf kerana tidak dapat membantu lebih ramai individu yang memerlukan bantuan berkenaan.

Sumber : ASTRO AWANI

Be the first to comment on "Lelaki Pangkat CEO Ini Beritahu Bagaimana Nak Selesaikan Masalah Ebit Lew Untuk Bantu 43 Ribu Pelajar Miliki Tablet Untuk Belajar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*