Wanita Ini Melambai Kepada Seseorang Di Tingkap Sebuah Hotel. Rupanya Ini Sebab Kenapa Orang Dilambai Itu Sangat Penting Bagi Dia

TERPISAH berjauhan dengan insan tersayang akibat pandemik Covid-19 pastinya menyedihkan.

Setelah terpisah sekian lama, seorang bapa akhirnya berpeluang untuk kembali ke Malaysia dari luar negara untuk bertemu dengan keluarga.

Namun, bukan mudah untuk melepaskan kerinduan apabila lelaki berkenaan perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama 10 hari di sebuah hotel terlebih dahulu, bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan ke atas mana-mana pengembara yang tiba di Malaysia dari luar negara.

Menerusi satu video yang dikongsikan di laman sosial, bapa berkenaan dilihat melambai-lambaikan tangan dari tingkap bilik hotel, yang dirakamkan oleh anak perempuannya.

Hannan Sabrina Mohd Nor Azman berkata, bapanya berusia 52 tahun bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Doha, Qatar.

Gadis berusia 23 itu memberitahu, kali terakhir dia dan keluarga bertemu bapanya adalah pada Januari tahun lalu, sebelum pandemik melanda seluruh dunia.

“Banyak syarikat yang terjejas akibat pandemik, termasuk syarikat ayah hingga ada yang diberhentikan kerja. Jadi, ayah perlu bertahan dan meneruskan kerjanya, daripada mengambil cuti panjang untuk balik ke Malaysia.

“Kalau sebelum ni, ayah biasanya balik ke rumah untuk bercuti, kira-kira tiga bulan sekali atau mak yang ke Qatar untuk jumpa ayah,” katanya kepada mStar.

Bapa Hannan di lapangan terbang di Doha, Qatar sebelum berlepas pulang ke Malaysia. foto ihsan Hannan Sabrina Mohd Nor Azman

Lebih mesra disapa Hanna, katanya, setelah setahun tidak berjumpa, bapanya akhirnya berpeluang untuk pulang ke tanah air, Jumaat lalu.

“Kami sekeluarga begitu gembira dan yang paling teruja sudah tentu mak. Tapi ayah kena kuarantin wajib selama 10 hari di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

“Esoknya, saya dan mak pergi ke hotel di tempat ayah kuarantin untuk menghantar barang-barang seperti kelengkapan diri termasuk pakaian,” ujarnya yang menetap di Subang.

(dari kiri) Hannan, ibu dan bapanya.

Kerana tidak dibenarkan berjumpa bapanya sepanjang kuarantin, dia cuba mencari kelibat bapanya yang menginap di salah sebuah bilik dari luar hotel bagi mengubat kerinduan ibunya.

“Walaupun saya buat video call dengan ayah semasa tiba di hotel, tapi kami tercari-cari juga di mana bilik ayah. Saya yang memandu tiga kali pusing-pusing sekitar luar hotel cari ayah.

“Sampai la ayah dari biliknya di tingkat lima kata dah nampak kereta kami. Dah nampak, ayah cakap. Kami masih tercari-cari, lepas tu ayah kata ni ayah lambai-lambai.

“Kami dari luar pagar hotel teruja sangat dapat nampak ayah lambai-lambai tangan tu. Mak gembira sampai menangis,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.

Menurut Hannan, sesi ‘melihat bapanya di tingkap hotel dari jauh’ itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum mereka pulang dan ibunya yang merupakan suri rumah menangis dalam perjalanan.

Hannan (depan, tengah) ketika bercuti bersama sebahagian keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu peribadi mengakui melihat bapanya walau hanya di sebalik tingkap bilik hotel benar-benar membuatkannya sebak.

“Walaupun lambai kat tingkap je pun, saya tahu ayah pun gembira sangat. Dah setahun tak balik, hari-hari ayah dan mak buat video call kerana berjauhan.

“Sedih juga bila hari-hari ayah video call cakap rindu nak balik Malaysia, nak jumpa kami. Memang ujian besar buat kami sekeluarga ketika pandemik ni.

“Ayah dah balik Malaysia, bersyukur sangat dah. Tak sabar tunggu ayah habis kuarantin Ahad ni. Mesti ayah tak sabar nak rasa masakan Malaysia, terutama masakan mak… paling special sudah tentu ayam masak kicap dan sambal tahun (makanan tradisi Jawa),” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "Wanita Ini Melambai Kepada Seseorang Di Tingkap Sebuah Hotel. Rupanya Ini Sebab Kenapa Orang Dilambai Itu Sangat Penting Bagi Dia"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*