Rider Terpana Apabila Lokasi Hantar Makanan Rupanya Di Kubur, Risau Betul-betul Atau Kena Prank

SETIAP pekerjaan pastinya ada cabaran yang tersendiri.Begitu juga dengan mereka yang bekerja sebagai rider penghantar makanan.

Selain berhadapan kesesakan lalu lintas dan ragam pelanggan, ada dalam kalangan mereka turut menerima gangguan misteri. Menurut Muhammad Khuzaimie Lemat, 23, dia pada minggu lalu menerima tempahan makanan yang cukup aneh.

Menjalankan tugas seperti biasa, dia yang menaiki motosikal mengikut peta ke lokasi pelanggan itu akhirnya tersadai hampir sejam di sebuah kawasan perkuburan Cina di Sungai Putat, Melaka.

“Kejadian tu berlaku dalam pukul 6.30 petang, dekat Maghrib. Proses seperti biasa, saya nak pergi drop makanan ikut peta ke lokasi pelanggan.

“Bila pergi saya sampai di sebuah kawasan kubur, peta tu berhenti betul-betul di kubur. Lokasi pelanggan bagi memang di situ.

“Saya cuba hubungi dan mesej, namun tiada jawapan. Dekat 10 kali saya hubungi. Kemudian saya maklumkan kepada pihak customer service untuk selesaikan isu itu,” ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Khuzaimie, dia yang hampir setahun bergelar rider mendedahkan pelanggan misteri itu menempah empat item, makanan dan minuman.

Dengan kos kurang RM30, pelanggan itu menempah sebungkus nasi goreng ayam, sebungkus nasi goreng USA dan dua jenis minuman.

Tambah Khuzaimie, ia bagaimanapun bukanlah kejadian seram pertama yang pernah dialaminya.

“Kalau nak cakap hal seram, saya dah banyak kali. Cuma ini kali pertama sampai ke kubur. Kali ni paling teruk.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sampai lewat malam, peta bawa ke tempat bukan-bukan, pernah sampai ke hutan.

“Sepatutnya ada laluan lain, tapi peta bawa ikut laluan lain,” ujarnya.

Selain unsur mistik, Khuzaimie tidak menolak kemungkinan ada individu yang cuba melakukan prank ke atas rider sepertinya.

“Ada kemungkinan orang nak buat prank, permainkan rider. Bila jadi macam tu, mungkin orang nak samun dan sebagainya.

“Mungkin mistik, mungkin sekadar prank,” ujarnya yang menetap di Pulau Gadong.

Dalam pada itu, Khuzaimie turut berkongsi kisah kejadian itu menerusi video di aplikasi TikTok.

Video tular itu sehingga kini menerima 1.3 juta tontonan dalam masa seminggu.

Menurut Khuzaimie, dia yang tidak sangka akan meraih perhatian ramai turut terharu apabila netizen mendoakan keselamatannya.

Ujarnya, video itu sedikit sebanyak membuka mata masyarakat bahawa pekerjaan rider cukup mencabar.

Kredit:MstarOnline

Be the first to comment on "Rider Terpana Apabila Lokasi Hantar Makanan Rupanya Di Kubur, Risau Betul-betul Atau Kena Prank"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*