Mak Menangis Terima Hadiah Dari Anak Sedangkan Sebelum Ini Mak Tidak Pernah Beri Apa Apa

APABILA menonton video yang memaparkan ibunya sedang menangis, anak bongsu daripada empat beradik ini ternyata gagal menahan air matanya.

Begitulah kisah pelajar, Amirul Ameen Hazahar, 20, yang cukup terharu atas reaksi ibunya, Noraini Misman, 53, yang menerima hadiah sebuah telefon baharu pada Ahad.

Mesra disapa Ameen, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) itu berkata, dia gagal menahan sebak atas reaksi yang ditunjukkan ibunya, biarpun tidak menyaksikan detik itu dengan matanya sendiri.

“Saya tinggal berasingan dengan ibu. Tapi kami dalam kampung sama. Selepas beli telefon baharu untuknya, saya terfikir nak buat kejutan.

“Tapi bila balik ke rumah ibu, dia sedang menerima tetamu. Jadi saya tinggalkan telefon dalam bilik dan pulang ke rumah saya kerana ada hal lain.

“Jadi adik sepupu yang rakam reaksi ibu selepas dia dapat telefon itu. Kemudian dia hantar pada saya.

“Saya menangis tengok video tu. Saya jenis hati lembut, senang jatuh air mata walaupun lelaki. Dengar suara ibu, saya bersyukur dapat gembirakan dia walau tak semewah mana,” ujarnya kepada mStar.

Menurut penuntut bidang keusahawanan itu, dia turut sebak mengenangkan pemberian itu memandangkan dia pernah dibesarkan dalam suasana serba kekurangan suatu masa lalu.

Malah kata Ameen, dia juga ralat kerana tidak sempat memberi apa-apa hadiah buat bapanya yang sudah meninggal beberapa tahun lalu.

“Mak menangis sebab terharu, dia kata dia tak pernah belikan apa-apa hadiah hari lahir untuk saya. Sebelum ni pun dia nak bagi hadiah jam, tapi saya kata tak perlu beli untuk saya.

“Telefon mak masih berfungsi, cuma skrin pecah. Mata saya tak boleh tengok macam tu. Saya terfikir, kalau saya pakai telefon elok, kenapa mak kena pakai telefon skrin pecah?

“Saya dah lama niat, cuma tak ada rezeki. Saya bukan orang senang. Kena fikir dua ke tiga kali. Tapi bila ke kedai pada Ahad, saya terus beli.

“Alhamdulillah, ada duit simpanan sikit-sikit. Lagipun dia ibu saya, kenapa nak berkira? Tambah-tambah lagi, hari ulang tahun ibu dengan arwah ayah jatuh pada 19 Februari ini,” ujarnya yang menetap di Jeram, Selangor.

Ameen turut berkongsi video kejutan itu di TikTok.

Dalam pada itu, Ameen berkata, dia sekadar berkongsi video kejutan itu di TikTok untuk menyimpan memori, di samping memberi inspirasi kepada kawan-kawan yang lain.

Malah, dia juga terharu apabila rakan-rakan yang lain turut mengirim mesej kepadanya, mengakui turut terinspirasi untuk melakukan tindakan sama kepada ibu ayah masing-masing.

“Saya tiada niat apa-apa. Cuma kongsi cerita. Mungkin orang fikir, setakat telefon je… tak penting.

Ameen merupakan penuntut bidang keusahawanan di Upsi.

“Bila dapat tahu ramai kawan-kawan TikTok kata mereka dapat inspirasi, nak bagi hadiah pada mak ayah mereka, saya rasa sangat dihargai.

“Impian saya, saya nak tunaikan apa sahaja kemahuan ibu saya. Kalau dia nak pusing seluruh dunia, saya akan bawa. Itu impian saya.

“Saya akan bekerja keras untuk ke tahap itu,” ujarnya yang turut mengumpul wang hasil berniaga dalam talian sebelum ini.

Sumber: MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "Mak Menangis Terima Hadiah Dari Anak Sedangkan Sebelum Ini Mak Tidak Pernah Beri Apa Apa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*