PM Muhyiddin Mahu Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Mohon Maaf Dan Ganti Rugi RM10 juta

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, minggu lalu.

Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad, semalam, Muhyiddin, antara lain menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

Perkongsian Dr Puad di laman FBnya.

“Kami diarahkan bahawa kenyataan itu mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan ditandatangani peguam Muhyiddin.

Firma guaman itu diarah untuk menuntut Mohd Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Mohd Puad dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini, kami akan mengambil tindakan guaman terhadap anda,” katanya.

Difahamkan surat tuntutan itu dihantar melalui e-mel dan diserahkan secara tangan kepada Mohd Puad, semalam.

Pada 9 Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah dibuat Mohd Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

Kredit:HMETROonline

Be the first to comment on "PM Muhyiddin Mahu Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Mohon Maaf Dan Ganti Rugi RM10 juta"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*