Berita Baik Untuk Semua, Tarikh Lulus Untuk Permohonan iSinar Akhirnya Diberitahu

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun yang sudah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac ini.

KWSP dalam kenyataannya memaklumkan, ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh terbabit, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari lalu membabitkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,” katanya.

Dana persaraan itu turut menjelaskan, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti sebelum ini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - Foto arkib NSTP

Katanya, ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah di dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” katanya.

Sementara itu, KWSP berkata, ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1.

“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.

KWSP berkata, pemansuhan kriteria i-Sinar itu juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lalu akan dihentikan.

“KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, untuk menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac.

“Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar.

“Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion sudah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada bulan Disember 2020, memanfaatkan 3.3 juta ahli,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848.

Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.

Sumber : BHARIAN

Be the first to comment on "Berita Baik Untuk Semua, Tarikh Lulus Untuk Permohonan iSinar Akhirnya Diberitahu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*